‘Tinggal RM80j pun sudah memadai…’ Macau Scam

Lima individu termasuk Datuk Seri dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya oleh SPRM berkaitan jenayah Macau Scam.

SELEBRITI dijadikan kambing hitam oleh sindiket Macau Scam untuk cuci wang haram mereka?

Bagaimana pula alasan tidak tahu sumber daripada mana wang itu diperoleh? Adakah ia boleh diterima atau sekadar wayang?

Ikuti wawancara Timbalan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia DR ROZAIDI RAZALI bersama wartawan NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN bagi mengupas isu ini.

Datang bawa duit berjuta-juta, takkan kita tidak curiga daripada mana dia dapat wang?

Semestinya ia akan menimbulkan rasa curiga. Saya juga pasti berasa perkara yang sama (curiga) daripada mana wang itu diperoleh.

Mungkin desakan hidup menyebabkan individu mengambil inisiatif untuk berniaga demi menambah pendapatan.

Pada masa sama, mungkin mereka sukar membuat pinjaman di institusi kewangan seterusnya ambil jalan mudah terima bantuan pinjaman kewangan daripada pihak luar.

Penerima pinjaman bukan tiada wang, tetapi menganggap pemberi pinjaman ini sebagai ‘pelabur’ walaupun tidak mengetahui sumber sebenar wang itu.

Bagi saya, sindiket Macau Scam yang berleluasa di Malaysia didalangi pihak luar menggunakan orang tengah sebagai ‘keldai wang’.

Menggunakan ‘keldai wang’, penjenayah boleh menjadikan mangsa sebagai pengantara untuk memindahkan wang haram.

Dengan cara ini, identiti penjenayah disembunyikan daripada mangsa penipuan dan pihak berkuasa.

Sukar untuk menjejak penjenayah kerana mereka tidak menggunakan akaun dengan nama sendiri.

Dalang sindiket pula mengeluarkan wang ini untuk proses cuci wang dengan menjalankan pelbagai perniagaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pihak tertentu termasuk selebriti sanggup jadi kambing hitam dengan menjadi tukang cuci wang semata-mata mahu cepat kaya?

Ramai mahu kaya, tetapi perlu menerusi cara yang betul tanpa melanggar undang-undang.

Sindiket Macau Scam mungkin memilih selebriti, lebih-lebih lagi dalam kalangan yang memiliki bilangan pengikut ramai dalam media sosial kerana ia sangat membantu meningkatkan potensi perniagaan.

Ini berdasarkan analisis yang saya lakukan mengikut perkembangan situasi semasa.

Pada pandangan saya, segelintir pihak termasuk selebriti mungkin berhasrat mahu berniaga, tetapi tidak mempunyai modal mencukupi.

Keadaan ini membuka ruang kepada ahli sindiket untuk memanipulasi hasrat mereka dengan menyuntik modal bagi memulakan perniagaan.

Pada saya, mereka mungkin melihat situasi ini sebagai situasi menang-menang dan bukan soal kambing hitam kerana tiada siapa yang mahu dijadikan sebagai kambing hitam.

Bagaimana sistem cuci wang ini berfungsi?

Secara umumnya, cuci wang bermaksud membersih atau menyembunyikan sumber wang sebenar yang tidak halal dengan cara memperlihatkan wang ini seperti berasal daripada sumber yang sah.

Pada hakikatnya, perniagaan ini dilakukan secara tidak sah dan salah di sisi undang- undang dan saya berpendapat kegiatan ini langsung tidak bermoral.

Proses pengubahan wang haram dibahagikan kepada tiga peringkat.

Pertama ialah placement apabila sindiket akan mencari ruang untuk memasukkan wang ini ke dalam sistem ekonomi secara menyamar.

Pada peringkat ini, sekiranya ahli sindiket tidak bijak, mereka akan mempamerkan jumlah harta dan wang tunai dimiliki kepada umum.

Ini akan membawa keraguan kepada pihak berkuasa. Seperti membabitkan video yang tular di media sosial.

Peringkat kedua iaitu layering, wang haram itu sudah memasuki ‘pintu’ ekonomi secara sah.

Di sini mereka akan memasuki dunia perniagaan yang dijalankan oleh rakan kongsi atau pihak yang menjalankan perniagaan terbabit.

Ini juga dikenali sebagai structuring. Ia peringkat paling kompleks dan biasanya membabitkan pergerakan wang antarabangsa.

Sindiket akan menggunakan pelbagai akaun bank dan melantik golongan tertentu seperti selebriti dan peguam bagi menguruskan ‘perniagaan’ mereka menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti yayasan.

Sindiket tidak risau jika sedikit rugi dalam perniagaan memandangkan ia bersumberkan wang haram.

Contoh, dapat RM100 juta, selepas ‘cuci’ tinggal RM80 juta, ia sudah memadai.

Di peringkat akhir iaitu integration apabila wang sudah masuk ke dalam sistem kewangan yang sah. Mereka gunakan wang ini untuk membeli aset seperti hartanah dan kenderaan mewah.

Cara ini untuk menarik lebih ramai pengikut yang ingin menjadi kaya seperti mereka dan memiliki perniagaan seumpamanya.

Ini adalah konsep pemasaran yang betul, tetapi sebenarnya mengaburi pengikut mereka.

Idea pengubahan wang haram boleh dikatakan ketara apabila sindiket akan mencari peluang urus niaga yang mempunyai tahap tunai tinggi.

Antara pelaburan perniagaan sindiket ini ialah restoran, kasino, pusat pencucian pakaian dan resort.

Kita boleh lihat, ada perniagaan yang mampu bertahan walaupun tiada sambutan. Kita tak dapat pastikan status perniagaan ini selagi pihak berkuasa tidak menjalankan siasatan.

Duit yang dicuci ke dalam sistem kewangan ini dikira berjaya apabila pencuci tadi dapat melakukan ia seolah-olah pendapatan yang sah.

Pada peringkat ini, sukar untuk membezakan yang mana kekayaan sah atau sebaliknya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dan Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) pasti ada kepakaran untuk menumpaskan sindiket seumpama ini.

Di Malaysia, ia pasti ada kaitan dengan penjenayah. Bagaimana pula kaitannya dengan segelintir individu dalam kalangan pihak berkuasa?

Ia berlaku apabila segelintir individu dalam kalangan pihak berkuasa tidak berintegriti dan menyalahgunakan kuasa melindungi sindiket bagi mendapatkan habuan.

Integriti adalah satu perkara yang amat penting dan perlu diberi perhatian dalam semua sektor malah kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah tidak boleh dikompromi.

Bagaimana mahu mengenal pasti kriteria pemberi modal ini ‘sah’ atau ‘tidak sah’?

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat semakan sama ada syarikat atau individu yang ingin memberi modal mempunyai latar belakang kewangan yang tidak mencurigakan.

Pastikan syarikat atau individu itu memiliki lesen Akuan Syarikat Peminjam atau latar belakang kewangan yang kukuh.

Semua maklumat ini boleh diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sumber: myMetro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp