Sindiket Macau Scam beli hartanah RM336 juta hasil penipuan

Johor Bahru: Polis mengesan tiga ‘mastermind’ dipercayai mendalangi penipuan Macau Scam dan membeli hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang menggunakan wang hasil penipuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengendali syarikat, Teow Wooi Huat (Teddy Teow), 55, berperanan sebagai pembeli yang berurusan dengan syarikat pemaju, manakala dua anaknya, Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, pula ‘proxy’ yang juga pengarah syarikat bagi Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

Katanya, susulan laporan siasatan awal yang diterima pada Ogos 2020 di Pekan Nanas, Pontian, dan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket itu, seterusnya tangkapan 12 individu tempatan yang juga pengarah syarikat berusia antara 29 hingga 68 tahun pada 3 hingga 21 Disember lalu.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Johor menubuhkan satu pasukan khas menerusi Ops Pelican 2.0 bagi menjalankan siasatan secara intensif untuk mengesan aliran wang mangsa kepada sindiket penipuan Macau Scam.

“Modus operandi sindiket ini menggunakan beberapa lapisan akaun keldai untuk melakukan transaksi kewangan mereka bagi mengelirukan pihak berkuasa daripada dikesan.

“Siasatan ke atas kedua-dua kes ini mendedahkan penggunaan kaedah pembelian hartanah dan mata wang kripto sebagai platform bagi penggubahan wang haram sindiket ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

GAMBAR suspek dan  modus operandi sindiket penipuan Macau Scam. FOTO Zain Ahmed
GAMBAR suspek dan modus operandi sindiket penipuan Macau Scam. FOTO Zain Ahmed (METRO)

Beliau berkata, 12 individu yang ditahan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, selain pihaknya juga sudah memanggil individu berpangkat Datuk Seri daripada sebuah syarikat pemaju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek utama pula iaitu Teddy Teow dikesan mempunyai banyak rekod jenayah lampau dan disyaki sudah melarikan diri ke Danok, Thailand, namun dua anaknya dipercayai masih berada di dalam negara ini.

“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kondominium mewah dan unit komersil bernilai RM336 juta di bandaraya Georgetown, Pulau Pinang, selain disalurkan untuk jual beli mata wang kripto.

“Siasatan lanjut mendedahkan sejak Jun 2020, sindiket berkenaan menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza, iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan serta boleh dikenakan denda atau kedua-duanya,” katanya.

AYOB Khan menunjukkan gambar suspek dan modus operandi sindiket penipuan Macau Scam. FOTO Zain Ahmed

Sumber: MyMetro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp