Penipuan jenayah siber: Kerugian RM400 juta direkodkan tahun ini

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (dua dari kiri), pada Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial dan Pelancaran Portal serta Aplikasi Semak Mule di Maktab PDRM, Cheras, hari ini. – NSTP/AIZUDDIN SAAD

CHERAS: Kira-kira 14,000 kes penipuan jenayah siber membabitkan kerugian RM400 juta, direkodkan tahun ini hingga September lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sebanyak 28,508 kes penipuan sama dilaporkan, tahun lalu, dengan 18,130 akaun membabitkan keldai akaun dan kerugian hampir RM2.5 bilion.

Sepanjang 2018 pula, beliau berkata, sebanyak 23,788 kes berkenaan dilaporkan dengan 13,513 akaun membabitkan keldai akaun dan kerugian RM2.8 bilion.

“Sistem perbankan dan bayaran dalam talian digunakan secara meluas ketika ini.

“Justeru, kita berharap mereka yang menjadi mangsa penipuan ini, termasuk kes pembelian dalam talian, tampil membuat laporan walaupun hanya membabitkan kerugian ratusan ringgit.

“Ia akan membolehkan kita mengemas kini data berhubung akaun membabitkan keldai akaun menerusi Aplikasi Semak Mule untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial dan Pelancaran Portal serta Pelancaran Aplikasi Semak Mule, di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani menjelaskan, orang ramai perlu mengetahui bahawa pihak berkuasa tidak membuat panggilan telefon kepada individu berhubung kes jenayah atau kemalangan.

“Sebaliknya, ia hanya berkaitan sesi janji temu di pejabat. Janji temu itu berkemungkinan di balai polis, mahkamah atau pejabat tanah.

“Oleh itu, kita berharap masyarakat sentiasa berhati-hati dengan modus operandi penjenayah siber berkenaan,” katanya.

Sumber: BH Online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp