Pengurus bank rugi RM1.9 juta ditipu ‘polis wanita’

PETALING JAYA: Seorang pengurus sebuah bank di ibu negara berputih mata selepas wang hampir RM2 juta hasil penjualan saham, pinjaman peribadi, simpanan dan simpanan tetap serta penjualan polisi insurans miliknya lesap ditipu sindiket Macau Scam.

Mangsa wanita berusia 50 tahun itu terpedaya selepas menerima satu panggilan daripada seorang wanita mengaku sebagai pegawai polis di daerah ini, pada jam 5.52 petang, 5 Mei lalu.

Pegawai polis itu mendakwa mangsa terbabit dengan satu kes langgar lari dan menyebabkan kematian di tempat kejadian, namun mangsa menafikan perkara itu.

Bagaimanapun, mangsa mula panik apabila dia dikatakan mempunyai rekod lampau berkaitan dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata mangsa kemudian menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp berkenan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.

“Mangsa kemudian diminta membuka satu akaun bank tempatan bagi membolehkan mangsa memindahkan semua wangnya yang berada di akaun bank miliknya ke akaun bank baharu itu.

“Ia konon bertujuan untuk siasatan dijalankan Bank Negara untuk mengenal pasti sama ada mangsa benar-benar terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram atau sebaliknya.

“Mangsa akur dengan arahan itu dengan membuka satu akaun bank tempatan pada keesokannya (6 Mei),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa mengeluarkan semua wang hasil penjualan saham, pinjaman peribadi, simpanan dan simpanan tetap serta penjualan polisi insurans dan memindahkan ke akaun bank baharu berkenaan.

“Mangsa juga diminta supaya tidak membuat sebarang semakan dengan bank berhubung sebarang transaksi di akaun berkenaan daripada Mei sehingga September lalu kononnya bagi membolehkan Bank Negara menjalankan siasatan.

“Dia turut dijanjikan akan menerima satu surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung September atau selewat-lewatnya pada awal Oktober ini dan semua wang itu akan dikembalikan jika dia tidak bersalah,” katanya.

Bagaimanapun, wang itu akan dirampas dan akan menjadi hak milik kerajaan sekiranya mangsa didapati terbabit dengan kegiatan itu.

“Mangsa mula curiga kerana sehingga semalam, dia masih belum menerima surat yang dijanjikan itu sebelum mangsa ke cawangan bank tempatan untuk membuat semakan dan mendapati wang mangsa berjumlah RM1,979,976 dikeluarkan secara berperingkat.

“Selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, mangsa membuat satu laporan polis berhubung perkara itu, semalam,” kata Nik Ezanee.

Menurut Nik Ezanee lagi, orang ramai dinasihatkan terus menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 sekiranya menerima panggilan telefon sedemikian bagi memastikan kesahihannya.

“Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan pemanggil tanpa menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit terlebih dahulu.

“Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah sedemikian,” kata beliau.

Sumber: BH Online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp