Awas… jangan mudah terpedaya e-mel, mesej tuntut hadiah berupa wang tunai – MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menegaskan sebarang penggunaan logo MCMC oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kelulusan adalah satu kesalahan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial.

Menurut MCMC, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

MCMC memaklumkan hasil pemantauan yang dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati, mangsa akan ditujukan mesej kononnya mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah skim TM Family Gift Bonus.

“Elak daripada memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor akaun bank kepada individu yang tidak dikenali,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu menegaskan sebarang penggunaan logo MCMC oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kelulusan adalah satu kesalahan.

Sebarang laporan dan aduan berhubung penerimaan mesej sedemikian boleh dimajukan kepada pihak MCMC melalui talian aduan 1 800 188 030 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 016 2206262.

Orang ramai juga boleh membuat aduan berhubung perkara ini dengan menghantar e-mel ke [email protected] atau melayari laman sesawang MCMC https://aduan.skmm.gov.my untuk tindakan susulan. – BERNAMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp