Kini dalang dari negara seberang

PUTRAJAYA: Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mengesan wujud sindiket dipercayai didalangi warga Indonesia yang menggunakan warga tempatan sebagai ‘keldai’ akaun.

Malah, kes yang dilaporkan itu adalah sebahagian daripada 1,000 aduan diterima MCCA membabitkan kerugian RM5 juta akibat penipuan dalam talian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi MCCA Siraj Jalil berkata, sindiket itu licik menggunakan media sosial bagi mempromosikan barangan jualan mereka pada harga murah untuk menarik mangsa di negara ini.

“Sebaik mangsa ‘termakan’ umpan berkenaan, mereka akan memaklumkan bahawa mereka mempunyai ejen di Malaysia dan diminta memindahkan wang bagi pembayaran di akaun warga tempatan terbabit.

“Ada antara ‘keldai’ akaun yang dipergunakan sindiket berkenaan tidak menyedari mereka dijadikan sebagai ‘orang tengah’,” katanya di Pejabat MCCA di Putrajaya, baru-baru ini.

Siraj berkata, ada antara ‘keldai’ akaun memaklumkan pihaknya mempunyai pakatan perniagaan dengan syarikat dari Indonesia itu yang kemudian meminta tolong untuk melakukan pemindahan wang ke akaun mereka.

“Selain itu, ada juga yang dijerat kononnya dengan alasan ditawar sebagai ejen membantu menyerahkan wang dimasukkan dalam akaun mereka ke akaun sindiket.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan berlaku pengaliran keluar wang secara tidak sah berpunca daripada aktiviti penipuan dilakukan sindiket itu,” katanya.

Beliau berkata, lebih 1,000 kes yang direkodkan pihaknya diterima menerusi saluran disediakan di laman web persatuan berkenaan bagi tempoh Januari lalu hingga 23 Jun lalu.

“Daripada jumlah itu, 450 aduan diterima membabitkan kerugian RM800,000 bagi sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 31 Mei lalu.

“Kebanyakan aduan membabitkan penipuan pembelian pelbagai barangan seperti telefon pintar, pelitup muka serta lain-lain yang dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan sebarang pembelian secara dalam talian terutama membabitkan pihak dari negara luar.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp