ST serbu premis curi elektrik untuk perlombongan Bitcoin

KUANTAN: Suruhanjaya Tenaga (ST) menyerbu 18 premis dipercayai membuat sambungan elektrik secara haram menjalankan aktiviti perlombongan matawang bitcoin yang menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang kerugian besar setiap bulan.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan ST, Shafie Mohamed, berkata perlombongan matawang bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam.

Katanya, Ops Bitcoin selama dua hari yang pertama kali diadakan tahun ini turut disertai TNB dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), dengan tumpuan premis di bandar Kuantan, Jaya Gading dan Balok.

Beliau berkata, serbuan pertama membabitkan bangunan kedai di Jalan Paya Tiga, di sini yang menempatkan tiga premis bitcoin.

Katanya, pihak berkuasa terpaksa memotong kunci bagi membuka pintu setiap premis.

“Serbuan pertama di premis tanpa penghuni mencatat arus elektrik tanpa meter kira-kira 400 Amp dengan bil RM32,000 sebulan.

“Walaupun ada meter di bahagian atas pintu premis, ia hanya untuk kegunaan lampu bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu, hari ini.

Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyerbu premis perlombongan matawang bitcoin di Kuantan. – NSTP/Mohd Rafi Mamat

Beliau berkata, Ops Bitcoin menyasarkan 18 premis perlombongan matawang bitcoin yang dilihat semakin bertambah di daerah ini.

Katanya, kerjasama MPK berupaya menyekat kegiatan terbabit kerana diberi kuasa merampas peralatan digunakan, termasuk menyita premis.

“Sebelum ini ada kes TNB membuat pemotongan bekalan elektrik tetapi pihak berkenaan membuat sambungan haram semula dalam beberapa jam.

“Kali ini ST bertindak tegas dengan menanggalkan semua sambungan yang dibuat secara haram.

“Kegiatan perlombongan matawang bitcoin di negara ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB tetapi boleh mengundang kebakaran disebabkan litar pintas kerana rangkaian komputer berkuasa tinggi digunakan beroperasi 24 jam tanpa pengawasan.

“Kawasan yang mempunyai kegiatan perlombongan matawang bitcoin boleh merosakkan sistem bekalan elektrik, sekali gus menjejaskan pengguna lain,” katanya yang akan meneruskan Ops Bitcoin di seluruh negara secara berperingkat.

Kakitangan TNB terpaksa memecahkan pintu ketika menyerbu premis perlombongan matawang bitcoin di Kuantan, hari ni. – NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Sumber: BH Online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp