Guna elektrik tanpa bayar!

DUA premis dipercayai menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital, bitcoin diserbu Suruhanjaya Tenaga di sekitar kawasan pusat komersial di Taman Pendamar Indah di sini, selepas didapati melakukan penyambungan elektrik secara haram, semalam.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga, Shafie Mohamed berkata, operasi bersepadu bersama Special Engagement Against Losses (Seal) TNB dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dijalankan susulan risikan selama sebulan.

“Kami mendapati memang ada penggunaan elektrik dengan curang bermaksud sepatutnya tenaga elektrik disalurkan melalui meter elektrik, tetapi premis ini tidak melalui meter sebaliknya sambung terus ke premis, mereka guna elektrik tanpa bayaran.

“Setakat ini, ini kes pertama di kawasan ini dan siasatan lanjut masih dijalankan. Jumlah kerugian (elektrik yang dicuri) dianggarkan sebanyak RM30,000 bagi satu premis dalam sebulan.

Kakitangan TNB melakukan kerja pemotongan bekalan elektrik dalam Operasi Pengekangan Kes Penggunaan Elektrik Secara Curang oleh Premis Cryptocurrency di One Kesas, hari ini.

“Di bawah penggunaan elektrik dengan curang ini, Suruhanjaya Tenaga akan siasat mengikut Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 di mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda dan penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Op Bitcoin di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin.

Shafie berkata, operasi itu juga melihat kepada kepentingan keselamatan elektrik kerana itu adalah satu isu yang besar.

“Kalau guna elektrik tidak melalui kelengkapan sepatutnya, perlindungan serta aspek keselamatan, ia akan membahayakan pengguna dan orang awam.

“Ia boleh menyebabkan gangguan bekalan di kawasan sekitar kerana penggunaan elektrik berlebihan daripada yang ditetapkan dan jika lebihan beban ia boleh menyebabkan kebakaran premis.

“Perkara ini tidak boleh dilakukan, pengguna kena ikut saluran betul, di sini kita dapati ada kabel disambung secara persendirian,” katanya.

Mesin lombong bitcoin guna aliran elektrik tinggi

Kaedah perlombongan mata wang digital menggunakan perkakasan komputer seperti pemproses, unit pemproses grafik (GPU) dan beberapa keperluan lain yang digabungkan dan menjadi satu mesin perlombongan mata wang kripto.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil menjelaskan setiap mesin berkenaan memerlukan aliran elektrik yang tinggi dan kebanyakan ‘pelombong’ akan menggunakan kaedah ‘menempa meter elektrik’ untuk menipu bacaan asal kepenggunaan utiliti berkenaan.

“Mata wang jenis ini terhasil daripada rantaian blok yang mempunyai nilai tertentu dan kini kadar 1 Bitcoin (BTC) mencecah RM30,000 sehingga menarik perhatian pihak lain untuk melaksanakan perlombongan digital.

“Bagaimanapun, sisi gelap mata wang digital ini bermula apabila ia tidak menggunakan mana-mana pihak berkuasa sebagai badan penyelia, malah pengguna A boleh melakukan transaksi kepada pengguna B tanpa menggunakan khidmat institusi kewangan.

“Mata wang digital ini bukan satu unsur penipuan sebaliknya ia adalah nilai sebenar, namun penggunaannya banyak di laman web terlarang yang wujud di sebalik rangkaian ‘dark web’,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Siraj berkata, jenis mata wang ini popular kerana ia melindungi data transaksi antara pengguna menerusi kaedah penyulitan bertingkat dan ia menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan transaksi antara dua pengguna.

Sementara itu, Elya Marini berkata, sebaik saja bekalan elektrik dipotong, MPK akan bertindak menyita semua barang dan peralatan di premis yang diserbu itu mengikut Undang-Undang Kecil 3 (Perlesenan Tred, Perlesenan dan Perindustrian) MPK 2007.

“MPK juga membantu siasatan bagi mengenal pasti pemilik premis ini dan maklumat akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga dan TNB untuk siasatan dan tindakan undang-undang selanjutnya.

“Siasatan dijalankan oleh mereka sebab mungkin sambungan itu dibuat sama ada oleh pemilik, penyewa atau penceroboh.

“Di kawasan ini saja, terdapat 10 premis berpotensi kegiatan sama dan di bawah pentadbiran MPK terdapat 21 yang sudah dikenal pasti. Operasi ini akan dijalankan berterusan sehingga selesai,” katanya.

Shafie Mohamed (kiri) melihat penyambungan elektrik haram ketika Ops Bitcoin oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di One Kesas, Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Sumber: myMetro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp