Jual filem RM1, Penerbit AADD saman e-dagang RM50 juta

PENERBIT filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Datuk Ayu Puteh mendedahkan beliau bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta.

Ia susulan, pihak e-dagang itu menjual filem terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram di platform berkenaan.

Berdasarkan perkongsian tangkap layar (screen shot) di media sosial oleh warganet mendapati filem dibintangi pelakon Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sanda dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan.

Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, 43, berkata, beliau mula mengesan tindakan tidak bertanggungjawab dibuat pihak e-dagang itu sejak 10 Jun lalu di Telegram.

“Sebaik mengetahuinya (keluar di Telegram), saya terus buat aduan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan pihak Astro.

“Kemudian, saya buat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara. Namun, selepas melihat tiada sebarang tindakan yang pantas saya buat aduan semula kepada FINAS sebab hati saya sangat marah bila tengok orang jual filem saya dengan harga RM1,” katanya.

Menurut Ayu, didapati pula penjualan filem AADD di jual di platform e-dagang terkenal itu dengan harga sangat rendah dan menjual produk curi tanpa kebenarannya membuatkan hati beliau panas dan tak boleh kawal.

“Dia (pihak terbabit) rasa hidup ini dia punya, jual filem saya RM1. Selama dua bulan, penjualan berkenaan berlangsung di platform e-dagang itu dan sekarang pandai pula mereka turunkan iklan dan filem saya.

“Tahu pula takut, tapi semua bukti itu saya dah ada. Kalau pihak berkenaan turunkan (iklan filem) pun, semua bukti cukup. Saya dah simpan dan baru saya buka kes.

“Nak lari mana. Pihak peguam untuk uruskan kes undang-undang ini pun sudah saya lantik. Saya akan berjuang untuk membela filem hak cipta syarikat saya dan tuntut ganti rugi pada mereka,” katanya.

Menurut Ayu, beliau nekad tampil berjuang sendiri sebagai usaha pihaknya sangat serius dan memandang isu cetak rompak ini masih belum dapat dibanteras dengan berkesan sehingga kini walau pun sudah bertahun-tahun.

“Saya kena bangkit dan ambil tindakan saman ini sendiri untuk bela hak saya. Dalam bisnes, nak sewa apa tapak pun kena bayar dan dapatkan permit. Semua ada akta dan bukan boleh buat sesuka hati.

 “Walaupun ada orang persoalkan tindakan saya kenapa nak bising-bising apakah kerana filem saya itu sudah terjual puluhan juta? saya tak peduli semua itu.

 “Cakaplah apa pun, saya ambil tindakan sebab filem ini berkualiti dan bukan filem yang tangkap muat. Senang kata, bukan filem sampah. Saya sanggup berhabis wang buat penggambaran filem ini hingga ke luar negara di Eropah dengan pembiayaan sendiri sepenuhnya.

 “Saya tak minta dana FINAS pun sebelum ini. Bila saya mohon, dapatlah sedikit bantuan. Berjuta duit semua wang milik saya sendiri dikeluarkan hanya untuk hasilkan filem ini dengan baik. Jadi, bila filem saya jadi mangsa cetak rompak, takkan nak biar dan diamkan saja. Malah, menjadi hak saya nak tuntut ganti rugi hingga RM50 juta pun,” katanya.

Ujar Ayu, jika pihak e-dagang berkenaan membuat penafian dan menganggap alasan diberikan itu tidak masuk akal.

“Kenapa mereka (pihak e-dagang) itu tak cuba jumpa saya, minta izin nak jadi pengedar. Susah sangat ke? Pihak Astro pun datang berbincang dan buat bayaran pada saya untuk hak penayangan.

“Saya ambil tindakan undang-undang atas paksi kebenaran. Lagi pun, saya dapat bantuan kewangan daripada FINAS sebanyak RM300,000 pun selepas filem AADD siap dihasilkan, itu pun sebab filem itu berkualiti dan FINAS gembira. Apapun, memang semua bajet filem, duit saya sendiri,” katanya.

Ayu berkata apa yang disuarakan adalah sebagai rakyat dan pembikin filem selain berharap ia mendapat perhatian dan tindakan segera daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Sementara itu, mengenai kehadirannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya petang tadi, Ayu berkata beliau ke sana untuk ‘follow up’ aduan kes berkenaan cetak rompak itu.

Sumber: myMetro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp