RM1.8 bilion diperuntukkan, rangka Strategi Keselamatan Siber atasi jenayah siber- Saifuddin

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan bagi melaksana program Strategi Keselamatan Siber 2020-2024.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah, inisiatif itu disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memperkasa agensi yang mengendalikan keselamatan siber, khususnya Cyber Security Malaysia (CSM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Pendekatan yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani isu jenayah siber atau Macau Scam ini mengambil pendekatan secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengariskan sebuah strategi yang dipanggil Strategi Keselamatan Siber 2020-2024 dalam memperkasakan agensi seperti CSM dan NACSA,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) di Parlimen pada Rabu.

Dalam pada itu, Saifuddin (Bersatu – Indera Mahkota) berkata kerajaan turut mengesan lebih 1 juta nombor talian prabayar yang didaftarkan secara meragui sehingga Oktober lalu.

“Daripada jumlah itu, lebih 920,000 telah ditamatkan manakala lebih 400,000 juga telah dikemas kini dan mendapati ia sah digunakan tanpa meragukan,” katanya.

Sumber: Awani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp