Promosi iklan berunsur lucah membimbangkan

MINYAK pengasih, minyak urut, ubat kuat lelaki, gambar bogel, perangsang seks dan alat sulit tiruan adalah antara promosi iklan berunsur lucah yang dikesan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), sejak enam bulan lalu.

Menggunakan pelbagai platform seperti Facebook dan Instagram, ia menjadi antara produk tumpuan dengan ribuan netizen menyukai iklan terbabit sehingga mencetuskan kebimbangan ia dibeli oleh golongan di bawah umur untuk tujuan yang salah.

Presidennya, Siraj Jalil berkata, pemantauan pihaknya mendapati ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan di atas kelonggaran pengawalan promosi barangan tertentu untuk melariskan jualan mereka.

Katanya, lebih membimbangkan, promosi berkenaan turut menggunakan gambar lucah untuk menarik minat pembeli dan ia sama sekali tidak sesuai untuk kanak-kanak.

“MCCA juga menerima aduan daripada orang awam mengenai kegusaran mereka dalam isu ini. Setakat ini, belum ada kawalan dari segi iklan di laman sosial atau pun penyedia perkhidmatan membeli-belah atas talian. Terlalu banyak iklan seperti ini yang tidak disekat.

“Baru-baru ini ada kes peniaga mengiklankan minyak pengasih dan ubat kuat menggunakan ilustrasi bogel. Ibu bapa bimbang ia akan mempengaruhi anak-anak kerana ada yang sudah bertanya mengenai produk itu dan kenapa gambar itu tidak ‘malu’, tidak mengenakan pakaian,” katanya.

Antara barangan yang turut dijual ialah ilmu penunduk, minyak pemikat yang berharga antara RM29.90 hingga RM139 beserta jaminan ia akan memberi kepuasan khususnya kepada mereka yang ingin mencari pasangan hidup.

Siraj berkata, MCCA sudah pun memaklumkan perkara itu kepada penyedia platform jualan semalam dan satu daripada iklan lucah itu sudah ditarik balik sebaik aduan dibuat.

“Kita gesa kerajaan supaya mengawal pengiklanan siber ini kerana setakat ini belum ada badan khusus mengawalnya. Semakin hari, kita terdedah kepada kecanggihan teknologi yang jika digunakan secara salah, akan memberi kesan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada ibu bapa yang terkejut dengan kewujudan iklan seperti itu.

Katanya, ia sama sekali salah dari sudut agama kerana penggunaan minyak pengasih adalah syirik dan ia adalah unsur penipuan semata-mata melariskan jualan.

“Sama juga promosi barangan dengan gambar lucah. Semakan kita mendapati, pautan itu membawa pelayar ke satu iklan lain, tetapi persoalannya kenapa perlu gunakan gambar lucah,” katanya.

Sumber Harian Metro

Kongsi

Leave a Reply