Draf akhir Akta Anti Buli Siber siap hujung tahun ini

DRAF akhir Akta Anti Buli Siber untuk menjamin keselamatan pengguna siber dijangka siap hujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kajian dijalankan Universiti Multimedia (MMU) itu perlu dijalankan bagi memastikan permasalahan berhubung perkara itu dapat diselesaikan.

“Tempoh diberikan untuk kajian selama enam bulan dan kita mahu ia siap dalam tempoh enam bulan,” katanya selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datin Mastura Yazid dan Presiden MCCA Siraj Jalil.

SAIFUDDIN (tengah) memotong riben simbolik perasmian pejabat MCCA di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Yusmizal Dolah Aling
SAIFUDDIN (tengah) memotong riben simbolik perasmian pejabat MCCA di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Yusmizal Dolah Aling (Metro TV)

Sebelum ini, kerajaan memutuskan melantik MMU bagi mengadakan kajian dan penyelidikan berhubung perkara itu yang akan diadakan selama enam bulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan persatuan seperti MCCA penting untuk membantu masyarakat membuat aduan berkaitan siber.

Katanya, peranan itu penting memandangkan kementeriannya perlu mendapatkan maklum balas mengenai isu siber di negara ini.

“Sudah tentu orang awam boleh mengadu kepada MCCA dalam soal berkaitan siber, media sosial ini kerana kita mahukan penyelesaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:56 PM oleh Metro TV

Kongsi